28 October 2009

PATUHI KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS

Jawatankuasa Disiplin Parti memandang serius beberapa artikel dalam media perdana serta laman-laman blog tertentu. Semua laporan ini sedang dipantau bagi meneliti sejauh mana segala pertuduhan yang dilemparkan sehingga mencetuskan kegawatan, sebelum mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat pada malam ini.

Jawatankuasa Disiplin parti menyambut baik saranan Dewan Pemuda agar Jawatankuasa ini dipertingkatkan. Namun perlu diingat bahawa jawatankuasa Disiplin Parti hanya boleh bertindak sekiranya ada laporan rasmi kepada parti. Segala kenyataan umum melalui akhbar atau blog tidak boleh dianggap sebagai laporan rasmi. Semua pertuduhan yang dibuat mestilah disokong dengan pembuktiaan. Bukan hanya dengar cakap atau hanya melalui beberapa blog tertentu sahaja.

Sehingga kini, Jawatankuasa Disiplin telah menerima empat laporan rasmi, dan telah mengambil tindakan kepada tiga laporan, manakana satu lagi yang sedang diteliti oleh jawatankuasa. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menegakkan keutuhan parti serta hak ahli parti, maka semua pertuduhan dan pendakwaan mestilah mampu menegakkan keadilan bagi yang kena tuduh, manakala yang membuat tuduhan mestilah bersedia dengan bukti yang jelas.

Sehubungan itu, segala permasalahan parti mestilah menggunakan saluran parti yang sedia ada. Kita mempunyai pelbagai mekanisma bagi menangani isu yang berlaku dalaman parti. Gunakan saluran parti, jangan bertindak sendirian dengan membelakangi saluran parti kerana tindakan sedemikian tidak menguntungkan parti.

Perlu diingat bahawa Jawatankuasa Disiplin memandang serius beberapa tindakan bagi membincangkan semula sesuatu yang telah diputuskan dan dianggap telah selesai. Lantaran itu, sekiranya ada dikalangan ahli biasa atau pimpinan yang cuba mengheret parti kepada permasalahan yang telah kita putuskan, maka mereka mesti bersedia untuk diambil tindakan. Awasilah media perdana yang berusaha melaga-laga pimpinan, dengan memberi gambaran buruk kepada satu pihak dan selah-olah memberi gambaran baik pada pihak lain. Kerana mereka sedang berusaha memecahbelahkan kita dan merosakkan hubungan baik serta setiakawan kita dalam Pakatan.

27 October 2009

PAS adalah Gerakan Islam

PAS adalah Gerakan Islam - Bukan semata - mata Parti Politik

1. Parti Islam se Malaysia [ PAS ] adalah sebuah Gerakan Islam yang melaksanakan aktiviti Amal Islami ke arah mencapai cita - cita perjuangan Islam iaitu meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia .

2. Penyertaan PAS dalam medan siasah [ politik ] adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini .

3. Siasah [ politik ] PAS adalah siasah Islamiyyah yang kaya dengan adab , akhlak dan prinsip Islami yang dipandu oleh wahyu dan sunnah . Semua pemimpin dan anggotanya terikat dengan tatacara yang telah dimaktubkan . Pelanggarannya dianggap satu kesalahan yang tidak wajar dilakukan oleh pemimpin dan anggota PAS .

4. Tugas dan tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik . Tanpa mengabaikan tanggungjawab politik yang dilunas mengikut prinsip amal Islami , PAS juga mempunyai tanggungjawab besar untuk turun berdakwah dan memimpin fikrah [ pemikiran ] , syakhsiyyah [ peribadi ] dan ruuhiyyah [ spiritual ] masyarakat .

5. Justeru itu , kurangkanlah politiking sesama sendiri yang hanya mengheret kita bersengketa dan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada perjuangan sebaliknya menjadikan kita retak dan pecah .

6. Berikan tumpuan kepada usaha pengukuhan gerakkerja dan mempelbagaikan aktiviti ke arah memahamkan masyarakat terhadap Islam yang kita perjuangkan . Tidak hanya menumpukan isu - isu politik sehingga memperlahankan tempo dalam gerakkerja dan aktiviti Amal Islami yang lain seperti pemantapan Aqidah dan Fikrah .

7. Jangan biarkan sebarang kemelut melintasi ruang jamaah kita sehingga ia merosakkan penumpuan dan keikhlasan kita terhadap amanah perjuangan . Keasyikan berpolitik dan keghairahan bersaing di dunia politik kini kelihatan banyak melahirkan pemimpin dan anggota parti yang tidak lagi menumpukan tanggungjawab asas sebagai seorang pejuang Islam .

8. Telah ramai pemimpin dan anggota jamaah yang telah mengabaikan solat berjamaah , menjauhkan diri dari majlis - majlis ilmu , tidak lagi melazimi usrah . Ucapannya pula tiada lagi hikmah sebaliknya kasar dan keras . Tindakannya gelojoh , egonya tinggi dan hanya merasa diri sahaja yang bijak dan pandai . Gemar bertelingkah dan suka memfitnah . Melakukan dosa tanpa sedar ianya berdepan murka dan kutukan Allah swt . Sebagai contoh mudah , apabila jamaah dan anggotanya dilanda badai dan kemelut , tiada lagi usaha untuk bermunajat dan solat hajat agar keadaan tenang dan terkawal . Sebaliknya berlumba - lumba nak menyalakan lagi isu yang sedia membara .

9. Saban ketika dan waktu hanya merancang bagaimana nak jatuhkan si anu dan si anu [ saingan politiknya ] kerana ia tidak sependapat dengan aku [ atau mereka memurnikan sedikit alasannya yang berbunyi " demi kebaikan jamaah ...." @ " demi masa depan jamaah ..." dan lainnya sebagai melindungi perkataan sebenar " demi kebaikan aku ..." @ " demi masa depan politik aku ......." ]

10. Segalanya kerana pengaruh politik tanpa agama dan akhlak . Hitungan seharian dalam dunia politik ialah bagaimana nak menang ! bagaimana nak dapatkan undi melayu dan non malay ! tetapi malang , sebahagiannya tidak memasukkan dalam hitungan mereka , bagaimana nak pertahankan Islam dan memenangkan Islam ! Malah ada yang berani mengatakan jangan bercakap Islam kerana nanti kita kurang popular dan non muslim akan menjauhi kita .

11. Sebagai anggota Gerakan Islam , kita tidak seharusnya prejudis terhadap Islam . Perjuangkan Islam nescaya Islam akan menambat hati nurani semua ummat , justeru Islam adalah agama wahyu untuk seluruh manusia . Keadilan Islam dan akhlaknya akan meruntun hati manusia walau pada mulanya mereka membenci Islam . Pentingnya kita mesti tegas bersama Islam .

12. Jangan hanya kita berbangga dengan ilmu dan akhlak pemimpin kita seperti Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz sedang kita tidak berusaha untuk jadi seperti mereka atau lebih baik dari mereka . Bangga meriwayatkan kesederhanaan 2 tokoh pemimpin kita tetapi kita hidup tenggelam dalam kemewahan yang keterlaluan . Bangga dengan tawadhu' dan wara'nya mereka tetapi kita gopoh , liar dan tidak cermat . Bangga dengan karisma dan wibawa mereka sementara kita sering culas dan nakal .

13. Binalah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita membinanya . Pagarilah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita memagarinya . Kalau kita tidak mampu menjadi seperti mereka berdua , ambillah contoh dan ikutlah qudwah mereka bukan menjatuh dan melemahkan mereka serta melaga - lagakan mereka . Kerana itu perbuatan insan yang nakal lagi liar .

14. Berjuang biarlah dapat pahala , jangan berjuang untuk menambah dosa . Berjuang biarlah ramai sahabat , jangan berjuang meramaikan musuh . Berjuang biarlah tenang , jangan berjuang menambah serabut . Berjuang biarlah damai , jangan berjuang untuk bergaduh . Berjuang lah jangan tidak berjuang ....

15. Kita berjamaah untuk Islam bahkan kita menyertai PAS adalah untuk mendaulatkan Islam . Bukan membina empayar individu jauh sekali memburu kekayaan material . Lantaran itu , tidak sukar untuk kita memahami apa yang saya bangkitkan di sini . jangan tukar PAS sebagai Gerakan Islam kepada PAS hanya sebuah Parti Politik .

21 October 2009

Catatan Sempena 19 Tahun Tok Guru Jadi MB

SYAHADAN bila saya memaklumkan dalam FB bahawa esok 21 Oktober genaplah 19 tahun Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan ramai kawan FB yang mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Tok Guru kerana berjaya mentadbir Kelantan selama 19 tahun dan dalam tempoh itu berjaya pula melepas onak dan duri yang menghalang. Ramai yang berdoa agar Tok Guru sihat dan diberikan kekuatan oleh Allah s.a.w. untuk terus memimpin Kelantan Darul Naim.

Ada juga yang merasa sedih dan sayu kalau tiba-tiba Tok Guru sudah tidak menjadi MB lagi. Dalam pada itu ada juga yang menyata kebimbangan mengenai nasib Pas Kelantan selepas Tok Guru tidak ada lagi. Bagi mereka ini melihat roh dan kekuatan Pas sehingga berjaya memerintah Kelantan masuk penggal ke empat kerana keberkatan dan keromah Tok Guru.

Saya rasa semua orang memahami semua kata-kata ataupun ulasan berkenaan. Ulasan itu adalah mewakili kita secara individu. Tiap orang yang merasa kagum, hormat dan kasih dan menghayati keistimewaan Tok Guru akan merasai perasaan demikian. Bahkan perasaan berbagai-bagai lagi yang tidak terucap. Ini semua menunjukkan sayang dan kasih melimpahnya kepada beliau.

Seolah kita tidak sanggup dan sangat bimbang untuk melihat sesuatu yang buruk berlaku. Begitulah penerimaan umum ke atas seseorang pemimpin yang warak, baik dan tawaduk seperti Tok Guru. Sebab itu bukan saja orang Melayu Kelantan, Melayu luar juga mengasihi Tok Guru. Bukan itu saja orang Cina, India dan bangsa lain juga menyanjunginya. Tidak keterlaluan kalau dinyatakan kesemarakan sokongan umum kepada Pas sedikit sebanyak kerana mereka teruja dan terpesona dengan siasah Tok Guru.

Semua itu kerana kemuliaan Tok Guru. Kerana pendekatan dan kecaknaan kepada rakyat. Kerana pengorbanan dan cara hidupnya yang ringkas dan sangat merendah diri. Lihatlah Tok Guru dalam ketinggian mahkota hidup dan pujian itu beliau tetap juga berlembut, dan kadang kala masih mengakui kesilapan yang dilakukannya. Ada kalanya beliau seperti takut dengan segala pujian yang merupakan ujian Allah ke atasnya.

Justeru bagi orang yang menyanyanginya tidak ada cenderamata lain lagi untuk dihadiahkan kepadanya sebagai menyatakan terima kasih. Kerana budi, jasa yang dilakukan tidak terbalas dan tidak ada nilai untuk membalasnya.

08 October 2009

Markas Pemuda PAS diceroboh, petugas ditetak

BAGAN PINANG, 8 Okt: Lebih enam orang petugas Dewan Pemuda PAS (DPP) dipukul dan ada yang ditetak dangan parang oleh sekumpulan lelaki ketika sedang bertugas di beberapa tempat termasuk di markas induk DPP di Bagan Pinang.



Bercakap pada sidang media tergempar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut siang tadi, Ketua DPP Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan berkata, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 1.30 pagi.


Sekumpulan 100 lelaki bermotosikal dikatakan memakai baju BN telah menyerbu dan menceroboh markas induk DPP dan menumbuk petugas yang berada di situ.

Sewaktu kejadian lebih kurang 40 orang petugas berada di markas tersebut.
Selain ditumbuk, kesemua mangsa juga dihalau keluar meninggalkan markas itu.


Turut difahamkan ramai lagi petugas PAS di pukul malah ada juga yang dikejar dengan parang hingga ke rumah.

Ekoran itu DPP pusat akan membuat laporan polis jam 6 petang ini di Balai Polis Port Dickson.

Sekarang ini kita sedang mengumpul semua maklumat berkaitan. Kita diberitahu banyak kes serupa berlaku di tempat lain juga. Kita kumpul semua dan buat satu laporan petang ini," Ujar Nasaruddin lagi.

Nasarudin turut mempersoal sikap pihak keselamatan yang lambat bertindak sedangkan semalam insiden serupa telah berlaku dan telah dimaklumkan kepada pihak polis.

Semalam sudah berlaku perkara ini, kita dah maklum kepada pihak polis supaya ketatkan keselamatan, tapi malam tadi berlaku lagi, yang ini kita sangat kecewa," katanya.

Seorang Exco DPP, Suhaizan Kayat yang maklum berkenaan kejadian tersebut berkata, penyokong Umno BN terbabit tidak berpuas hati kerana mandakwa pemuda PAS telah menjatuhkan bendera dan kain rentang parti mereka.

Kejadian sama juga berlaku di beberapa lagi markas pemuda yang lain, namun semua bukti dan maklumat lengkap sedang dikumpulkan.

seorang mangsa yang ditetak dengan parang, Suhaizan juga kesal di atas kejadian itu menganggap penyokong Umno BN tersebut bertindak membelakangi undang-undang.

"Sepatutnya kalau ada bukti, buat lah laporan Polis, bukannya datang serang macam ni," katanya.

Kita yakin, ini satu provokasi dan perangkap mereka. Modus operandi sama sebelum ini diguna Abdul Azeez, tapi nampaknya tak berjaya. Jadi ini dia agenda mereka seterusnya," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, seorang saksi mendakwa dia melihat kumpulan samseng tersebut menggunakan senjata semasa melakukan serangan di beberapa tempat lain.

"Saya nampak mereka guna kayu, topi keledar, pedang dan senjata lain seperti besi semasa melakukan serangan," dakwa seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan.
Selain mengoyakkan poster dan kain rentang PAS, samseng terbabit juga dikatakan turut memecahkan cermin dan merosakkan kereta milik penyokong Pakatan.